DOHA: Jepun menepati ramalan mara ke suku akhir Piala Asia 2023 apabila menundukkan Bahrain 3-1 pada aksi pusingan 16 terbaik di Stadium Al-Thumama, sebentar tadi.
Skuad ‘Samurai Biru’ itu kini menanti pemenang di antara Iraq atau Syria bagi perebutan tiket ke separuh akhir di Stadium Education City, Sabtu ini.
Menentang Bahrain, Jepun nyata cemas apabila Bahrain beraksi pantas sebaik sahaja permainan bermula namun Jepun dengan rekod kejuaraan empat kali kembali menguasai perlawanan.
Hasilnya pada minit ke-34, Jepun di depan susulan percubaan jauh Seiya Makuma yang menggegar tiang gol Bahrain dan bola muntah pantas disambar Ritsu Doan yang menewaskan penjaga gol, Ebrahim Lutfalla.
Jepun menggandakan kelebihan menerusi Takefusa Kubo pada minit ke-48 selepas video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan jaringan terbabit meskipun ia terlebih dahulu dibatalkan kerana Kubo dikatakan berada dalam keadaan ofsaid.
Ayase Ueda membantu Bahrain kembali bersaing apabila jaringan sendirinya membolehkan Bahrain mengurangkan defisit pada minit ke-64.
Bagaimanapun Ueda menebus kesilapannya dengan menjaringkan gol ketiga Jepun pada minit ke-71.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.