KUALA LUMPUR: Perlumbaan jelajah berbasikal tertua di Asia, Jelajah Malaysia ke-54 (JM54) yang dijadual berlangsung dari 28 Feb hingga 2 Mac, ditunda kepada 28 hingga 30 Mei ini.
Menerusi kenyataan dikeluarkan penganjur, perlumbaan tiga peringkat sejauh 417.2 kilometer (km) itu ditangguhkan selepas mengadakan perbincangan serta mendapat persetujuan daripada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
Menurut kenyataan itu, tarikh baharu dipilih setelah mendapat pandangan daripada PKBM dan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
“Persiapan penganjuran JM54 tetap kami (penganjur) teruskan dan akan memperbaiki kelemahan serta kesilapan yang menyebabkan perlumbaan ini terpaksa ditangguhkan.
“Pasukan-pasukan terlibat yang bersetuju menyertai JM54 juga telah dimaklumkan tentang penundaan tarikh ini dan mereka turut bersetuju untuk menyertai kembali perlumbaan itu pada tarikh baharu kelak,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, perlumbaan tersebut melibatkan Peringkat 1 dari Shah Alam ke Teluk Intan sejauh 154.3km, Peringkat 2 dari Bagan Datuk ke Tanah Rata (139.7km) dan tamat dengan Peringkat 3 dari Tapah ke Meru Raya (123.2km), berbanding lima peringkat sejauh 728.45km sebelum ini.
Semalam, pihak penganjur memaklumkan perlumbaan diklasifikasikan sebagai kategori 2.2 oleh UCI itu sepatutnya bermula pada 26 Feb hingga 2 Mac, dipinda kepada 28 Feb hingga 2 Mac.
Sebanyak 24 pasukan melibatkan 120 pelumba profesional dari benua Eropah, Asia, Oceania dan Amerika mengesahkan penyertaan setelah lebih empat tahun perlumbaan itu ditangguhkan akibat COVID-19.
— BERNAMA