Tumpuan :
Sukan

Jelajah Dunia Akhir BWF: Aaron-Wooi Yik atasi beregu China pada aksi pertama

Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bangkit menewaskan gandingan China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu pada pertama Jelajah Dunia Akhir BWF. – Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bangkit menewaskan gandingan China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu pada pertama Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, hari ini.

Pasangan nombor lima dunia itu yang tewas di set pertama bangkit untuk melakar kemenangan 17-21, 21-18, 21-15 dalam aksi Kumpulan B di Gimnasium Olimpik Hangzhou.

Sebagai rekod, ia adalah kemenangan kedua mereka ke atas lawan dari China itu dalam empat pertemuan.

Bagaimanapun, Aaron mengakui perasaannya bercampur baur di sebalik kemenangan berkenaan selepas merasakan Xiang Yu mengalami kecederaan ketika set ketiga.

“Secara jujurnya, kami tidak berada dalam prestasi terbaik, kami dapat rasakan yang Xiang Yu mengalami kecederaan. Kami hanya mahu segera menamatkan permainan dan berharap dia segera pulih.

“Kami mahukan kemenangan kerana ia penting untuk kami tetapi pada masa sama, kami tidak mahu dia mengalami kecederaan yang lebih serius,” kata Aaron kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Aaron-Wooi Yik akan berdepan pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Rian Ardianto untuk aksi kedua kumpulan, esok.

Sementara itu, nasib berbeza dialami beregu lelaki profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang terpaksa akur tewas di tangan gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dalam pertarungan tiga set 18-21, 21-16, 14-21 aksi pertama Kumpulan A.

Kekalahan itu menyaksikan juara Terbuka China itu berdepan misi wajib menang dalam aksi kedua bertemu pasangan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan bagi menghidupkan peluang ke separuh akhir.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini