![](https://media.buletintv3.my/2025/02/OjWjBhHx-BULETIN-TV3-AD-9.jpg)
ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) bagaikan sebelah tangan mengenggam kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut selepas membelasah Polis DiRaja Malaysia (PDRM) FC 4-0 dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.
Kini skuad kendalian Hector Bidoglio hanya perlu menang ke atas Perak FC di laman sendiri pada aksi hujung Februari ini bagi mengesahkan kejuaraan biarpun berbaki lima perlawanan lagi.
Sebaik perlawanan bermula, JDT mengasak ke kubu PDRM FC dan pada minit ke-13, Jorge Obregon merembat bola leret tepat ke penjuru kanan menewaskan penjaga gol, Robson Rendy Rining.
Tuan rumah menambah duka skuad The Cops pada minit ke-38 selepas Corbin Ong yang tidak dikawal sempat merebahkan badan untuk menanduk masuk gol kedua.
Bersambung babak kedua, JDT terus menghukum kealpaan benteng skuad The Cops pada minit ke-54 selepas sepakan lintang Park Jun-heong menyaksikan Rodriguez yang berada di dalam kotak penalti pantas merembat bola bagi membolehkan Harimau Selatan selesa mendahului 3-0.
Minit ke 80, pemain gantian Romel Morales walaupun diapit dua pertahanan PDRM FC tapi masih mampu untuk menjaringkan gol, memastikan kemenangan 4-0 pada perlawanan itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.