ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut bagi musim 2024/ 2025 selepas menewaskan Perak FC 2-0 dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.
Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Hector Bidoglio mengumpul 58 mata selepas mengharungi 20 perlawanan biarpun masih berbaki empat perlawanan lagi, malah pencabar terdekat, Selangor yang kini mengutip 42 mata tidak mampu memintas Harimau Selatan seandai menang baki lima perlawanan.
JDT tampak `bernafsu’ untuk mencipta sejarah tersendiri dalam pemburuan `Triple Quadruple’ dan kini mengintai kejuaraan Piala Malaysia dalam satu musim selama tiga tahun berturut-turut.
Skuad Harimau Selatan terlepas untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-25 selepas bola sepakan sudut Arif Aiman tepat kepada Eddy Israfilov yang menanduk bola hanya sipi di sebelah kiri gawang.
Ketika berbaki seminit sebelum tamat babak pertama, lorongan Arif Aiman kepada Jese Rodriguez yang tidak dikawal berjaya menewaskan Haziq Nadzli untuk gol pembukaan JDT.
Bersambung babak kedua, JDT terus menggandakan asakan namun kekentalan Haziq Nadzli menjaga gawang berjaya menghalang percubaan berbahaya anak didik Bidoglio.
Ketika aksi memasuki minit ke-61, pengadil Ahmad Zuhaidi Dzulkifli mengesan bola terkena tangan pemain pertahanan Perak FC, Ariff Ar-Rasyid Arifin di dalam kotak penalti dan tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.
Obregon yang mengambil sepakan penalti pada minit ke-63 mudah menyepak bola leret tepat ke penjuru kanan menewaskan Haziq Nadzli untuk meletak tuan rumah selesa mendahului 2-0 dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.