comscore
Tumpuan :
Sukan

JDT raih bonus RM417,000

Foto: JDT

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih bonus sebanyak AS$100,000 (kira-kira RM417,000) susulan kejayaan menewaskan Shanghai Shenhua FC dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), semalam.

Jumlah bonus itu diberikan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) kepada pasukan yang memenangi aksi peringkat liga ACLE dan ia adalah kemenangan pertama Harimau Selatan dalam kejohanan itu.

Skuad kendalian Hector Bidoglio memperagakan aksi memukau dengan jaringan Arif Aiman Hanapi, Jorge Obregon dan Juan Muniz sekali gus membantu Harimau Selatan mengatasi kelab China itu 3-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim.

Kemenangan itu turut melonjakkan juara 10 kali Liga Super itu ke tangga kedua Zon Timur apabila mengumpul empat mata selepas dua perlawanan, dua mata di belakang pendahulu, Gwangju FC.

JDT memulakan kempen ACLE dengan keputusan seri 2-2 berdepan Shanghai Port FC di gelanggang lawan, 18 September lalu.

Sebelum ini, Harimau Selatan meraih habuan lumayan berjumlah kira-kira RM3.5 juta susulan penyertaan mereka dalam ACLE 2024/25.

Jumlah itu diberikan AFC kepada semua pasukan yang mengambil bahagian di peringkat liga kejohanan tertinggi Asia itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini