KUALA LUMPUR: Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) tampil menjelaskan bahawa tindakan mereka memohon pelepasan awal tiga pemain Harimau Selatan dari skuad kebangsaan disebabkan perancangan perjalanan menjelang aksi Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) menentang Shandong Taishan.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards menjelaskan pasukan itu dijadualkan berlepas ke China, Khamis ini, iaitu sehari selepas pemain kebangsaan pulang dari aksi menentang India, Isnin ini.
Beliau berkata, JDT mengambil serius kejohanan elit Asia selepas pelaburan besar yang dilakukan musim ini dengan harapan dapat menjalani kempen dengan cemerlang yang bukan sahaja akan meningkatkan status kelab di Asia tetapi juga meningkatkan ranking Malaysia dalam kejohanan kelab Asia.
“Ia akan memberikan manfaat buat bola sepak Malaysia kerana lebih banyak kelab boleh beraksi di kejohanan elit Asia pada musim-musim akan datang.
“Kami mencapai kata sepakat bersama skuad Harimau Malaya agar penjaga gol, Syihan Hazmi kekal bersama skuad kebangsaan kerana Harimau Selatan menggunakan khidmat Andoni Zubiaurre di ACLE setakat ini.
“Kami berbesar hati dengan pengendali Harimau Malaya, Pau Marti dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menyokong kempen kami di ACLE dan JDT akan terus menyokong aspirasi Malaysia untuk layak ke Piala Asia 2027,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, FAM mengumumkan tiga pemain JDT iaitu Matthew Davies, Feroz Baharudin dan Arif Aiman Hanapi dilepaskan pulang ke tanah air berikutan permohonan daripada kelab mereka.
FAM bagaimanapun menjelaskan, ia susulan jadual dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang menetapkan perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia 2024-2025 bagi JDT bertemu Kuala Lumpur Rovers FC, Rabu ini.
“Permohonan dibuat JDT itu selepas mengambil kira skuad Harimau Malaya akan tiba di tanah air pada pagi Rabu selepas aksi menentang India, sekali gus tidak sempat bagi ketiga-tiga pemain berkenaan pulang ke pangkuan kelab mereka itu,” kata FAM.
Situasi itu sekali gus menyaksikan hanya 23 pemain Harimau Malaya yang akan dibawa ke Hyderabad, India bagi perlawanan antarabangsa Tier 1 bertemu India, Isnin ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.