Tumpuan :
Sukan

JDT menang tipis, buka ruang KL City cipta peluang di SSI

Aksi pemain JDT dan KL City FC. Foto: Facebook Johor Southern Tigers

KUALA LUMPUR: Juara bertahan Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) sekadar membawa bekalan tipis menuju ke suku akhir kedua selepas menewaskan KL City FC 2-1 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Kedudukan itu menyaksikan aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 21 Disember ini bakal bertambah sengit memandangkan peluang ke separuh akhir Piala Malaysia 2024/25 masih terbuka buat kedua-dua pasukan.

JDT lebih mendominasi permainan dengan mereka terlebih dahulu melakukan percubaan tepat seawal minit ketiga menerusi Bergson dan Oscar Arribas (m11) namun kedua-duanya tepat ke dakapan penjaga gol KL City FC, Azri Ghani.

Peluang terbaik tuan rumah yang hadir pada minit ke-21 sekadar menyaksikan sepakan percuma terus Jovan Motika melewati palang.

Pertahanan kental KL City FC akhirnya ‘bocor’ pada minit ke-32 selepas Bergson bijak melakukan pusingan melepasi kawalan pertahanan KL City FC sebelum melepaskan rembatan menewaskan Azri.

Bersambung babak kedua, JDT terus menggandakan asakan namun mereka buntu dalam mencari ‘lubang’ untuk merobek gawang KL City FC buat kali kedua.

Arif Aiman Hanapi terlepas peluang menggandakan kelebihan buat JDT selepas dia yang berada dalam situasi satu lawan satu dengan Azri gagal menghalakan bola dengan kemas ke dalam gawang KL City FC.

Sehinggalah pada minit ke-78, JDT akhirnya menemui gol kedua menerusi penyudah lencong Heberty Fernandes sebelum KL City FC mengurangkan defisit pada minit ke-88 hasil sepakan gunting Brendan Gan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini