KUALA LUMPUR: Juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah ke separuh akhir Piala FA dengan agregat 13-0 selepas membelasah pasukan Liga A1, Malaysian University 8-0 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini.
Skuad kendalian Hector Pablo Bidoglio membuka tirai jaringan pada minit ke-20 menerusi percubaan jarak jauh Juan Muniz Gallego sebelum Heberty Fernandes De Andrade menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-25 selepas Francisco De Oliveira Geraldes dijatuhkan Muhammad Nashran Elias dalam kotak penalti.
Heberty menambah jaringan empat minit kemudian sebelum Muhamad Feroz Baharudin menambah gol keempat JDT pada minit ke-34.
Bersambung babak kedua perlawanan, JDT terus berpesta gol menerusi Francisco pada minit ke-60, Romel Oswaldo Morales Ramirez pada minit ke-71 dan ke-90 manakala Bergson Gustavo Silveira Da Silva pada minit ke-77.
Terdahulu, JDT menumpaskan Malaysian University 5-0 dalam pertemuan suku akhir pertama di stadium sama pada Sabtu lepas.
Sementara itu di Stadium Darul Aman, Alor Setar menyaksikan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) melangkah ke separuh akhir Piala FA menerusi agregat 1-0 ke atas Penang FC dengan perlawanan separuh akhir kedua berakhir tanpa sebarang jaringan.
Babak pertama perlawanan menyaksikan pasukan pelawat lebih banyak mengasak dengan melancarkan serangan bertali arus namun sehingga wisel penamat dibunyikan, kedua-dua pasukan buntu tanpa jaringan.
KDA FC sebelum ini mengatasi Penang FC 1-0 di Stadium Bandaraya di Pulau Pinang pada aksi suku akhir pertama pada Jumaat lepas. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa