![](https://media.buletintv3.my/2024/01/CMS-.jpg)
PETALING JAYA: Penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) masih berpeluang menyaksikan kelibat Fernando Forestieri bersama pasukan itu.
Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards dalam satu kenyataan di laman sosial Johor Southern Tigers hari ini.
Edwards berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama pemilik kelab Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Forestieri dan beliau sendiri.
“Penyerang berbisa ini akan kekal bersama JDT bersama tiga pemain antarabangsa baharu untuk mengukuhkan pasukan secara strategik di beberapa posisi untuk musim 2024-25,” katanya.
7 Januari lalu, JDT mengumumkan Forestieri, 34, dan berasal dari Argentina akan meninggalkan JDT sambil mengucapkan terima kasih atas khidmatnya sejak menyertai kelab itu pada permulaan musim 2022.
Forestieri merupakan sebahagian daripada skuad Harimau Selatan yang mencipta sejarah memenangi double quadruple pada 2022 dan 2023.
Mempunyai keupayaan bermain selaku penyerang dan sayap kiri, beliau meledakkan 47 gol sepanjang 69 penampilan bersama JDT.
Selain Forestieri, setakat ini bagaimanapun hanya dua daripada tiga pemain antarabangsa lain sudah disahkan diambil oleh juara 10 kali berturut-turut Liga Super itu.
Mereka ialah pemain kelahiran Portugal, Francisco Geraldes, 28, dan Jalil Elias, 27, pemain kelahiran Argentina dan kini mewakili pasukan kebangsaan Syria.