Tumpuan :
Sukan

JDT ke final Piala Malaysia

FOTO: Johor Southern Tigers / Facebook

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah ke final dua musim berturut-turut selepas menewaskan Sabah FC 3-1 pada aksi timbal balik separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Dengan kemenangan agregat 4-1, JDT selaku naib juara musim lalu akan bertemu sama ada Selangor FC atau Terengganu FC pada aksi final yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Tanpa kelibat Feroz Baharuddin dan Leandro Velazquez yang digantung satu perlawanan, pengendali JDT, Hector Bidoglio menyenaraikan Jordi Amat dan Nazmi Faiz Mansor bagi mengimbangi kekuatan pasukan itu mengharungi 90 minit perlawanan.

Sebaik babak pertama bermula, JDT yang membawa bekalan kemenangan 1-0 ke atas skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee, mula mengasak ke kubu skuad The Rhinos dan hampir mencipta jaringan seawal minit kelima apabila Bergson Da Silva berjaya melepasi kawalan pertahanan pelawat tetapi penjaga gol, Damien Lim sempat menghalang bola rembatan Bergson.

Memasuki minit ke-35, usaha berterusan skuad Harimau Selatan untuk memecah kebuntuan jaringan membuahkan hasil selepas hantaran lintang Corbin Ong disempurnakan Bergson.

Anak didik Bidoglio menambah derita skuad The Rhinos pada minit ke-41 selepas bola hantaran Nazmi Faiz ditampan kemas Arif Aiman Hanapi yang berada di dalam kotak penalti dan membiarkan Fernando Forestieri merembat bola menewaskan Damien untuk meletak JDT selesa dengan kedudukan 2-0.

Bersambung babak kedua, skuad The Rhinos berjaya merapatkan jurang gol pada minit ke-47 apabila bola rembatan dari jarak 25 meter Park Tae-su gagal ditangkap kemas penjaga gol, Farizal Marlias dan kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Taiki Kagayama.

Ketika aksi berbaki seminit, JDT diberikan sepakan penalti oleh pengadil, Nazmi Nasaruddin selepas pemain gantian, Akhyar Rashid dikasari Gerald Gadit di dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, seorang lagi pemain gantian, Safawi Rasid gagal menyempurnakan sepakan berkenaan.

Pemain gantian, Syafiq Ahmad menebus kehampaan itu apabila menjaringkan gol bagi memastikan kemenangan 3-1 memihak skuad Harimau Selatan. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini