Tumpuan :
Sukan

JDT berpesta gol menuju suku akhir Piala Malaysia

Pemain JDT FC, Jese Rodriguez Ruiz cuba melepasi pemain KL Rovers FC, Firdaus Faudzi dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Johor. FOTO NSTP

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan melangkah ke suku akhir dengan agregat 9-0 apabila mudah membelasah Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) 6-0 pada aksi timbal balik pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini, petang tadi.

JDT selaku penyandang juara piala berprestij itu dijadual menanti sama ada Kedah Darul Aman FC (KDA FC) atau Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dalam satu lagi aksi suku akhir yang berlangsung di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, malam esok.

Sebaik perlawanan bermula, JDT bagaikan memberi amaran awal apabila hampir meledak jaringan seawal minit ketiga selepas bola lorongan Jese Rodriguez tepat kepada Corbin Ong namun sepakannya gagal menembusi gawang gol ketika penjaga gol, Ahmad Asyraaf Omar sudah tertewas.

Asakan bertali arus skuad Harimau Selatan akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-13 selepas sepakan lintang Rodrigeuz menyaksikan pemain pertahanan KL Rovers, Mohammad Raffi Nagoorghani tertampan bola ke gawang sendiri.

Anak didik Hector Bidoglio menambah derita skuad kendalian Wan Mustaffa Wan Ismail selepas menambah jaringan pada minit ke-32 menerusi rembatan kencang Corbin yang tepat ke penjuru kiri menewaskan Ahmad Asyraaf.

Rodriguez yang kerap mendapat peluang mencipta jaringan akhirnya berjaya mencetak nama selaku penjaring selepas gerakan satu dan dua bersama Nazmi Faiz Mansor membolehkan bekas pemain Real Madrid itu menjaringkan gol pada minit ke-44 bagi meletak JDT selesa dengan kedudukan 3-0 dan agregat 6-0.

Kemasukan Bergson da Silva di babak kedua memberi impak buat JDT apabila menjaringan gol keempat pasukan itu selepas menanduk hantaran lintang Muhamad Alif Abdul Mutalib pada minit ke-74 menewaskan Ahmad Asyraaf untuk mengukuhkan jaringan Harimau Selatan agregat 7-0.

Bergson mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-81 selepas merembat bola kencang bola hasil sepakan lintang Nazmi Faiz dari posisi sayap kanan untuk meletak JDT dengan agregat 8-0.

Ketika aksi berbaki tiga minit untuk ditamatkan, pemain gantian Mahammadou Sumareh melengkapkan kemenangan bergaya Harimau Selatan dengan gol keenam sekali gus membantu JDT layak ke suku akhir dengan agregat 9-0 mengatasi KL Rovers.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini