Tumpuan :
Sukan

JDT benam Selangor FC 3-0

FOTO: JOHOR Southern Tigers/ Facebook

PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu liga musim ini selepas tidak berdepan masalah menewaskan Selangor FC (SFC) 3-0 pada perlawanan Liga Super 2024/2025 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Meskipun bermain di halaman sendiri namun ia bukan tugasan mudah buat pasukan bimbingan Nidzam Jamil apabila mereka terpaksa memilih untuk lebih banyak bertahan selama 45 minit pertama bagi mengekang asakan lawan dan cuba mengatur rentak kembali melalui beberapa serangan pantas.

JDT yang menurunkan skuad terbaik mereka jelas sukar digugat apabila menguasai sebahagian besar permainan dan sering kali mengucar-kacirkan barisan pertahanan Selangor terutama melalui larian deras Arif Aiman Hanapi dari sebelah kanan.

Selepas terlepas beberapa peluang terbaik, akhirnya skuad kendalian Hector Bidoglio berjaya membuka tirai jaringan berpunca dari sepakan percuma di luar kotak penalti yang diambil oleh Juan Muniz dan Romel Morales melakukan sedikit sentuhan untuk gol pertama untuk berada di depan 1-0 minit ke-30.

Harimau Selatan terus menambah derita tuan rumah apabila sekali lagi Arif Aiman bijak melepasi pertahanan lawan dengan larian deras sebelum melakukan hantaran lintang dan Bergson da Silva mudah menolak masuk untuk gol kedua pada minit ke-44.

Bersambung babak kedua, Nidzam Jamil melakukan pertukaran dengan memasukan pemain bahagian serangan, Alvin Fortes bagi mencari gol pertama buat Selangor.

Namun begitu, dalam usaha mereka untuk cuba merapatkan kedudukan, JDT terus membuktikan status pasukan terbaik di Malaysia apabila meledak gol ketiga melalui sepakan penalti pada minit ke-54.

Ia berpunca dari larian Arif Aiman yang cuba melepasi pertahanan lawan sebelum diterjah oleh Mohammad Abualnadi di dalam kawasan kotak penalti dan Bergson mudah menewaskan penjaga gol Selangor, Muhammad Azim Al Amin untuk gol kedua peribadinya.

Pasukan tuan rumah tidak berputus asa bagi menyusun serangan dan cuba melakukan serangan dari sebelah kiri serta untuk mendapatkan jaringan pertama namun barisan pemain JDT begitu cemerlang mempertahankan kedudukan itu sehingga tamat permainan.
Kemenangan malam ini membolehkan JDT selaku juara bertahan 10 kali berturut-turut terus selesa berada di puncak liga dengan 34 mata selepas 12 perlawanan tanpa sebarang kekalahan lagi setakat ini.

Sementara SFC pula berada di tangga kedua liga dengan 26 mata selepas 13 perlawanan dan sudah mengalami tiga kekalahan di dalam liga.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada final Piala FA pada Ogos lalu menyaksikan JDT menang mudah 6-1 ke atas SFC.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini