KUCHING : Johor Darul Ta’zim (JDT) mengutip ‘markah penuh’ menerusi kemenangan ke-11 berturut-turut dalam Liga Super selepas membelasah Kuching City FC 4-0 di Stadium Negeri.
Skuad Harimau Selatan itu hanya memerlukan empat minit untuk berada di hadapan menerusi jaringan Fernando Forestieri sebelum penyerang kelahiran Argentina itu sekali lagi menyerlahkan ketajaman, melebarkan kedudukan pada minit ke-36.
Namun pasukan tuan rumah kental bertahan untuk kedudukan itu kekal hingga separuh masa berakhir.
Skuad bimbingan Esteban Solari memasuki babak kedua dengan kelebihan dua gol jelas membuatkan mereka selesa untuk terus mengasak kubu tuan rumah untuk membuka jurang lebih besar.
Bergson Da Silva akhirnya berjaya menemui jaringan untuk gol ketiga JDT pada minit ke-70 selepas beberapa percubaannya sebelum itu gagal diterjemahkan.
Selang tiga minit kemudian jaringan jarak jauh Juan Muniz menoktahkan kemenangan bergaya untuk JDT.
Kemenangan ke 11 Skuad Harimau Selatan ini menyaksikan mereka mengumpul 33 mata penuh tanpa tewas, sekaligus mendekatkan JDT dengan kejuaraan liga ke-10, berturut-turut.