Tumpuan :
Sukan

JDT Benam Kedah Di Darul Aman

 

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terpaksa akur dengan kehebatan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila tunduk 1-3 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Beraksi di hadapan hampir 15,000 penyokong di laman sendiri buat pertama kali dalam tempoh tiga tahun, Kedah turun dengan semangat mahu mencalar rekod tanpa kalah JDT yang baru dinobatkan sebagai juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu.

Misi skuad Kenari itu bermula positif apabila mendahului seawal minit ke-12 selepas penyerang utama Ronald Ngah berjaya meloloskan diri daripada dua pertahanan lawan dengan larian ke dalam kotak penalti lawan sebelum menewaskan penjaga gawang lawan Farizal Marlias.

Kedah sekali lagi mendapat peluang menambah gol pada minit ke-31 apabila pemain import kelahiran Jordan Mahmoud Al-Mardi melakukan percubaan di bahagian kiri gawang JDT namun bola sekadar sipi di tepi tiang gol.

JDT bagaimanapun kembali bangkit meningkatkan serangan dalam memburu gol selepas ketinggalan, dan akhirnya hantaran pemain lawan oleh Afiq Fazail ke kawasan penalti tuan rumah disambut pantas oleh Bergson Da Silva yang seterusnya berjaya menewaskan Shahril Sa’ari pada minit ke-36.

Keadaan sedikit tegang pada hujung babak pertama apabila Bergson dilayangkan kad merah selepas menumbuk pemain pertahanan Kedah Rodney Celvin.

Walaupun beraksi dengan 10 pemain, namun Leandro Velazquez sekali lagi berjaya mencetak gol keduanya untuk JDT mendahului perlawanan pada minit ke-59 selepas menyempurnakan sepakan penalti selepas Syafiq Ahmad dijatuhkan dalam kotak penalti oleh pemain pertahanan Kedah, Azmeer Aris.

Kedah melalui penyerang Ronald Ngah hampir membolosi gawang JDT pada minit ke-66 tetapi percubaan tandukannya sedikit sahaja melepasi tiang gol.

JDT terus membunuh semangat tuan rumah apabila menambah satu lagi jaringan melalui sentuhan pemain tengah Afiq Fazail pada minit ke-78 yang mudah merembat bola dalam kawasan penalti untuk menjadikan kedudukan 3-1. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini