Tumpuan :
Sukan

JDT belasah TFC

Aksi Arif Aiman Hanapi ketika membantu JDT menewaskan TFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. – FOTO: Ihsan MFL

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) menempah laluan sukar untuk melangkah ke pentas final Piala Malaysia musim ini selepas tumpas 0-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, sebentar tadi.

Kemenangan besar pasukan pelawat itu menyaksikan skuad kendalian Hector Bidoglio bagaikan sudah sebelah kaki untuk mara ke pentas final musim ini.

Pada perlawanan separuh akhir pertama itu, juara bertahan terlebih dahulu menguji kubu tuan rumah menerusi percubaan Bergson Da Silva pada minit kedua namun digagalkan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim.

FOTO: Ihsan MFL

TFC yang menurunkan sayap lincah, Akhyar Rashid yang baharu mendapat ‘lesen’ bermain kelmarin memperoleh peluang pertama pada minit kelapan menerusi rembatan Nurillo Tukhtasinov yang mudah ditangkap kemas penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi.

Begitupun skuad Harimau Selatan terlebih dahulu menemui sentuhan jaringan menerusi tolakan mudah pemain naturalisasi, Romel Morales pada minit ke-17 hasil kelam kabut dalam kotak penalti untuk JDT memimpin perlawanan 1-0.

Ketinggalan satu gol menyaksikan skuad kendalian Badrul Afzan Razali meningkatkan lagi kualiti serangan, namun dua peluang menerusi Tukhtasinov pada minit ke-25 dan Ismaheel Akinade seminit kemudian gagal menemui jaringan.

Usaha berterusan pelawat untuk menambah jaringan akhirnya menjelma pada minit ke-78 selepas pemain lincah, Arif Aiman Hanapi mudah memperdaya pertahanan sebelum melakukan rembatan kencang dalam kotak penalti untuk pasukannya mendahului 2-0.

Arif Aiman sekali lagi membuktikan sentuhan berbisanya selepas meledak gol ketiga pasukan yang juga jaringan kedua peribadinya pada minit ke-84 untuk mengukuhkan kedudukan 3-0.

Ketika perlawanan berbaki dua minit untuk ditamatkan, Bergson menutup saki baki perjuangan tuan rumah selepas menyumbat gol keempat buat pasukan dari selatan tanah air itu.

Kedudukan 4-0 itu kekal hingga tamat perlawanan dan kedua-dua pasukan akan bertembung sekali lagi pada aksi separuh akhir kedua pada 1 Februari depan di Stadium Sultan Ibrahim.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini