Tumpuan :
Sukan

JDT belasah Sabah FC

FOTO: Ihsan MFL

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin menghampiri kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut selepas membelasah Sabah FC 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Skuad kendalian Hector Bidioglio melengkapkan kemenangan ke-16 dalam saingan liga untuk mengumpul 49 mata sekali gus berada di landasan terbaik bagi merealisasikan sasaran musim 2024/2025 ketika hanya perlu mengharungi baki tujuh perlawanan liga sahaja lagi.

Kejutan yang mahu dilakar Sabah pada mulanya menjadi apabila berjaya mengikat kedudukan 0-0 sehingga tamat babak pertama.

Namun memasuki babak kedua, pesta gol Harimau Selatan bermula menerusi Juan Muniz yang menyempurnakan sepakan percuma dari jarak 25 meter untuk mengelirukan penjaga gol lawan, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-50.

Serangan bertali arus JDT membuahkan hasil apabila Muniz sekali lagi mencetak gol pada minit ke-61 selepas menyudahkan bola hantaran pemain gantian Heberty Fernandes.

Memasuki minit ke-76, berpandukan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR), pengadil Mohd Hasrol Mohd Amin mengesan bola terkena tangan kiri Park Tae-su dan tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.

Bergson yang mengambil sepakan penalti itu pada minit ke-77, mudah merembat masuk menewaskan Khairul Fahmi.

Tidak cukup dengan itu, Bergson menghukum kealpaan Sabah dengan gol keempat pada minit ke-83 sekali gus menambah koleksi jaringan yang ke-21 dalam pemburuan Kasut Emas pada musim ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini