Oleh: Fariz Zolkarnain
KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) melaungkan amaran awal menjelang perlawanan akhir Piala FA 2023 apabila membelasah Kuala Lumpur City FC 6-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.
Kelibat Diogo Luis Santo paling mencuri tumpuan selepas cemerlang meledak hatrik pada babak pertama menerusi jaringan minit ke-12, minit ke-33 dan minit ke-44.
Pemain muda sensasi, Arif Aiman Mohd Hanapi turut mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-13.
Bersambung babak kedua, KL City cuba merapatkan jurang gol melalui jaringan Matko Zirdum minit ke-54, namun Harimau Selatan menambah dua lagi jaringan selepas itu menerusi Safiq Rahim, minit ke-86 dan Akhyar Rasid minit ke-88.
Keputusan 6-1 itu kekal sehingga wisel penamat menyaksikan JDT bukan sahaja berjaya mencatat kemenangan ke-15 berturut-turut dalam saingan Liga Super malah turut meraih suntikan moral menjelang perlawanan akhir Piala FA di antara kedua-dua pasukan di venue sama pada 22 Julai ini.
Sementara itu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor FC berjaya meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Kuching City FC 2-1.
Ayron del Valle meletakkan Selangor di depan menerusi sepakan penalti, minit ke-26 sebelum Yohandry Orozco menggandakan jaringan, minit ke-55.
Gol saguhati Kuching City dijaringkan oleh Amir Amri Salleh, seminit sebelum tamat masa permainan.
Di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, gol tunggal Engku Muhammad Nur Shakir pada minit ke-16 berjaya membantu Terengganu FC (TFC) menumpaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 1-0.
Kemenangan berharga itu menyaksikan TFC naik ke tangga keenam dengan 23 mata manakala KDA FC kekal di tangga keempat dengan 28 mata.