comscore
Tumpuan :
Sukan

JDT ‘ajar’ Kelantan

Pemain Kelantan FC, Jasmir Mehat (tengah) mengasak Pemain JDT, Mohd Afiq Fazail pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu. Foto: NSTP

KOTA BHARU: Seperti dijangka, Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya meraih bekalan selesa apabila menewaskan Kelantan 3-0 dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, sebentar tadi.

Kemenangan itu turut menyaksikan Harimau Selatan kini selangkah untuk ke separuh akhir dengan aksi timbal balik akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Jumaat ini.

JDT yang tidak menyenaraikan beberapa tonggak penting dalam kesebelasan utama termasuk, Natxo Insa dan Fernando Forestieri berada di depan pada minit ke-29 menerusi jaringan Bergson Da Silva yang menanduk masuk bola sepak sudut Leandro Velazquez.

Lapan minit kemudian, Syafiq Ahmad menjarakkan kedudukan buat JDT apabila penyerang kebangsaan itu bijak menyudahkan hantaran lambung Afiq Fazail.

Walaupun Kelantan dilihat cuba bangkit di babak kedua, namun JDT yang juga naib juara Piala Malaysia musim lalu semakin selesa apabila Velazquez meledak gol ketiga pada minit ke-73.

Malang menimpa Harimau Selatan apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Afiq dilayangkan kad merah susulan menerima kad kuning kedua pada minit ke-76.

Kesempatan itu bagaimanapun gagal digunakan The Red Warriors (TRW) untuk sekurang-kurangnya merapatkan kedudukan dan keputusan 3-0 memihak JDT kekal hingga wisel penamat. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini