comscore
Tumpuan :
Sukan

Jaringan tunggal Brendan bantu KL City FC tewaskan Borneo FC Samarinda

Antara aksi KL City FC menentang Borneo FC Samarinda pada perlawanan kedua Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2024/25 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur. FOTO: Borneo FC Samarinda

KUALA LUMPUR: Pemain tengah, Brendan Gan muncul wira selepas jaringan tunggalnya membantu KL City FC menewaskan wakil Liga 1 Indonesia, Borneo FC Samarinda 1-0 pada aksi kedua Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2024/25, sebentar tadi.

Pada aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur itu, jaringan pemain tengah kebangsaan itu membolehkan KL City FC menambah tiga lagi mata untuk mengekalkan rekod tanpa kalah skuad ‘Warga Kota’ dalam saingan ACC 2024/25 selepas dua perlawanan.

Keputusan ini turut menyaksikan Borneo FC Samarinda tumbang buat kali pertama selepas enam perlawanan tanpa kalah dalam saingan Liga 1 Indonesia setakat ini.

Pada aksi terbabit, kedua-dua pasukan jelas tercari-cari rentak di awal permainan sekali gus menyaksikan tiada percubaaan berbahaya dapat dilakukan dalam tempoh 20 minit pertama.

Pelawat tampak mendapat rentak terlebih dahulu dan menikmati penguasaan bola namun KL City FC dapat mematahkan beberapa siri serangan yang dilancarkan Borneo FC Samarinda bagi mendapatkan gol pendahuluan.

KL City FC mendapat percubaan tepat pertama pada minit ke-21 menerusi rembatan jarak jauh Giancarlo Gallifuoco sebelum percubaan Stefano Lilipaly pada minit ke-23 dihalang pertahanan KL City FC.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan peluang terbaik Borneo FC Samarinda hadir pada minit ke-56 menerusi penyudah dekat Leonardo Andriel dos Santos yang diselamatkan Azri Ab Ghani.

Penjaga gol lawan, Nadeo Arga Winata terpaksa merebahkan badannya untuk menyelamatkan percubaan Sean Giannelli pada minit ke-69 namun Arga Winata tewas pada minit ke-76 menerusi rembatan Brendan yang menyudahkan hantaran Zhafri Yahya.

Borneo FC Samarinda terus mengasak untuk memburu gol penyamaan yang membolehkan mereka membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata namun digagalkan Azri dan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini