LONDON: Mohamed Salah menggembirakan kem Liverpool apabila jaringan penyamaan lewat bintang Mesir itu membantu mereka seri 2-2 dengan pencabar kejuaraan Arsenal awal pagi tadi.
Anak buah Arne Slot berada di ambang kekalahan buat kali kedua musim ini sebelum Salah menyumbat masuk dengan berbaki sembilan minit di Stadium Emirates.
Liverpool ketinggalan susulan gol pembukaan Bukayo Saka dan sekalipun Virgil van Dijk menyamakan kedudukan, Mikel Merino meletakkan Arsenal kembali di depan sebelum rehat.
Gol kelapan Salah dalam 13 perlawanan bagi semua pertandingan musim ini turut dibantu kecederaan terbaharu pemain tonggak Arsenal, dengan pemain pertahanan Gabriel Magalhaes dan Jurrien Timber terpaksa dikeluarkan pada babak kedua.
Manchester City muncul pemenang sebenar semalam ketika keputusan seri di utara London memastikan mereka menamatkan hujung minggu di tangga teratas Liga Perdana Inggeris.
City yang belum kalah, menewaskan Southampton 1-0 kelmarin sekali gus berada satu mata di depan pasukan tangga kedua Liverpool, dengan pasukan tangga ketiga Arsenal ketinggalan lima mata di belakang mereka.
Ia hanya kali kedua Liverpool gagal menang sejak Slot menggantikan Jurgen Klopp awal musim ini, memulakan kariernya di Anfield dengan 12 kemenangan daripada 13 perlawanan bagi semua pertandingan.
Malah, Liverpool pasti lebih gembira dengan satu mata itu selepas mempamerkan keazaman tinggi untuk bangkit dua kali daripada ketinggalan menentang satu daripada pencabar kejuaraan.
Sementara anak buah Mikel Arteta kini mengharungi dua perlawanan liga tanpa kemenangan, menyaksikan mereka hanya menang tiga kali dalam tujuh perlawanan terakhir EPL dalam satu tamparan besar buat harapan mereka merebut kejuaraan pertama sejak tahun 2004.-AGENSI
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.