KUALA LUMPUR: Buat julung kalinya Institut Sukan Negara (ISN) mengambil langkah luar biasa apabila membawa pakar jantung ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Faedzal Md. Ramli, tindakan itu dibuat bagi memberikan perhatian khusus kepada jaguh basikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang dalam memastikan keselamatan dan kesihatan sandaran pingat emas negara itu yang sebelum ini dipalit masalah jantung.
Di bawah program Road To Gold (RTG), ISN dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) membuat inisiatif tambahan dalam memastikan keselamatan semua atlet negara yang bertanding.
Namun tumpuan ekstra diberikan khusus kepada Azizulhasni; menyaksikan pakar Jantung IJN iaitu Datuk Seri Dr. Jeffrey Jeswant Dillon turut menyertai kontinjen sebagai sebahagian daripada 20 personel perubatan ISN ke temasya Olimpik Paris bermula 26 Julai ini.
“Antara inisiatif melalui RTG, kita telah membuat saringan jantung kepada semua atlet yang bakal ke Sukan Olimpik. Ia adalah satu langkah yang telah kami laksanakan sejak beberapa bulan lalu bersama IJN.
“Kami juga mengambil langkah tambahan dengan membawa pakar jantung IJN, Datuk Seri Dr. Jeffrey Jeswant Dillon untuk menyertai kontinjen sebagai sebahagian daripada pasukan perubatan ISN.
“Langkah yang kita lakukan ini amat penting untuk memantau keadaan jantung Azizulhasni sekiranya berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.
“Ini adalah komitmen kami untuk memastikan Azizulhasni, dan semua atlet, dijaga dengan rapi sepanjang berada di Sukan Olimpik,” kata Ahmad Faedzal ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2024/2027 di sini hari ini.
Untuk rekod, Datuk Seri Dr. Jeffery merupakan watak penting dalam proses pemulihan jantung Azizulhasni ketika melakukan pembedahan jantung terbuka untuk membaik pulih kondisi Congenital Heart Disease, pada April 2022.
Pengarah Sukan Kardiovaskular dan Kecergasan merangkap Pakar Perunding Kanan Bedah IJN itu diterbangkan khas ke Melbourne untuk memantau proses pembedahan Azizulhasni selama tiga jam di Hospital Epworth Richmond, pada 21 April 2022.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa