Tumpuan :
Sukan

Janganlah mahal sangat untuk saya bayar – TMJ

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengharapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat ‘bertimbang rasa’ dengan jumlah denda yang bakal dikenakan susulan tindakan penyokong pasukan itu membakar suar di stadium.

Tunku Ismail yang juga bekas Presiden FAM menjelaskan, beliau mengakui pasukan itu pasti didenda malah turut menjangkakan jumlahnya akan meningkat selepas penyokong menyalakan suar sebanyak tiga kali.

“Jadi saya kena tunggu FAM turunkan denda terbabit. Saya harap mereka janganlah bagi harga yang mahal sangat untuk saya bayar.

“Walaupun denda, sudah tentu saya kenalah. Saya pun dah biasa kena denda dari tahun 2013, jadi benda ini normal,” kata Tunku Ismail menerusi video yang dikongsi media pada majlis berbuka puasa bersama Tunku Ismail di Johor Bahru, Sabtu lalu.

Malah, Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu pernah mempersoalkan isu pembakaran suar kepada badan induk itu selepas melihat perkara berkenaan turut dilakukan di liga terkemuka Eropah.

“Saya pernah persoal benda ini dekat FAM dan semasa saya tanya, mereka jelaskan pada saya bahawa undang-undang Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) tidak benarkan bakar suar.

“Mungkin saya tersilap tetapi apabila saya tengok pertandingan di Eropah macam di Serie A, macam semua ada bakar suar. Saya pun tak tahu.

“Mungkin saya kena tanya untuk terapkan lagi idea itu dan saya nak dapatkan maklumat yang lebih banyak,” katanya.

Terdahulu, gambar penyokong skuad Harimau Selatan menyalakan suar di Stadium Sultan Ibrahim menjadi tular di media sosial sehingga menimbulkan pertanyaan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Penyokong bola sepak tempatan mempersoalkan sama ada suar sudah dibenarkan di dalam stadium walaupun barangan itu disenaraikan sebagai barang larangan ke stadium. – BERITA HARIAN.

Loading...
Terkini