Tumpuan :
Sukan

Jangan pandang mudah Taiwan  –  Syihan

Syihan bersama tonggak pertahanan, Corbin Ong ketika ditemui media sebelum berlepas ke Taipei.- Foto: FAM/ FACEBOOK

SEPANG: Penjaga gol utama Harimau Malaya, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed mengingatkan rakan sepasukan, jangan sesekali mengambil mudah cabaran mana-mana pasukan, meskipun berada di ranking  rendah.

Pastinya satu pesanan penting buat Harimau Malaya yang berada di kedudukan ke-137 dunia, meninggalkan agak jauh Taiwan ke-157 dunia menjelang perlawanan kedua kelayakan Piala Dunia 2026 /Piala Asia 2027 Selasa ini di gelanggang lawan.

Mengimbas perlawanan menentang Kyrgyzstan pada Khamis lepas yang menyaksikan Syihan melepaskan tiga gol sekaligus mengundang kiritikan penyokong, pemain berusia 27 tahun itu berkata sebagai pemain, beliau harus bersedia untuk dikritik.

“Sebagai pemain bola sepak, tak boleh lari daripada kritikan. Kita buat kerja kita dan terus berusaha meningkatkan prestasi, betulkan apa yang kurang, ubah apa yang perlu,” ujar Syihan.

Bagaimanapun tidak dapat disangkal juga, penjaga gol JDT itu kerap melakukan beberapa aksi tangkas yang menggagalkan asakan lawan dibantu persefahaman tinggi bersama barisan pertahanan.

“Seorang penjaga gol memang tak nak dibolosi, tetapi dalam sesetengah situasi kita tidak dapat elakkannya. Kalau terlalu fokus (fikirkan perkara itu) pun tak boleh, saya akan terus berikan 100 peratus di atas padang,” katanya.

Selain Syihan, Harimau Malaya turut menyenaraikan dua penjaga gol iaitu Azri Ghani (Kuala Lumpur FC) dan Sikh  Izhan Nazrel   (Negeri Sembilan FC).

Loading...
Terkini