Oleh: Abdullah Sani
PETALING JAYA: Tumpuan seluruh peminat bola sepak tanah air malam ini pastinya terarah ke Stadium Perbandaran Taipei menyaksikan pertembungan Harimau Malaya menentang Taiwan pada perlawanan kedua Kumpulan D pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 / Piala Asia 2027.
Pertarungan yang amat penting bakal menggambarkan perjalanan lebih jelas skuad bimbingan Kim Pan Gon itu selepas ini.
Bagi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia, FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang turut sama ke Taipei, beliau menemui barisan pemain pada latihan persiapan terakhir malam tadi dengan melaungkan kata-kata semangat selain mengingatkan pemain sentiasa waspada berhadapan pasukan tuan rumah.
“Saya tegasakan kepada barisan pertahanan, jangan sesekali leka membolehkan lawan mendapatkan gol mudah,” kongsi Hamidin ketika dihubungi BuletinTV3 sebentar tadi.
Pada perlawanan pertama menentang Kyrgyzstan di Stadium Bukit Jalil, Khamis lalu barisan pertahanan negara tampak longgar sekaligus memberi ruang buat lawan mencipta jaringan mudah dan satu ketika mendahului Harimau Malaya 3-1.
Kepada jentera serangan Hamidin turut mengingatkan agar tidak cepat berpuashati meskipun berjaya mendahului lawan.
“Kalau dah jaringkan satu gol tu, teruskan usaha untuk dapatkan lagi dua atau tiga gol, keadaan itu akan membuatkan kita berada dalam keadaan lebih selesa,” ujar beliau lagi.
Barisan Harimau Malaya menampilkan semangat luar biasa apabila bangkit daripada ketinggalan 1-3 untuk mencatat kemenangan 4-3 ketika berhadapan Kyrgyzstan.
Perlawanan Harimau Malaya menentang Taiwan dijadual berlangsung jam 7 malam ini di Stadium Perbandaran Taipei yang mampu memuatkan kapasiti 55 ribu penonton.
Mengikut rekod, Taiwan yang dibimbing jurulatih Gary White memang kebal di gelanggang sendiri, malah Harimau Malaya turut merasai keperitan tewas di tangan skuad yang dikenali sebagai Blue Wings itu di hadapan penyokong mereka.
“Saya juga berkesempatan mengadakan perbincangan bersama KPG (Kim Pan Gon) dan dia menegaskan apa jua keadaannya dan rekod pertemuan yang berpihak kepada Taiwan sebelum ini, Harimau Malaya tetap tampil dengan corak menyerang,” kata Hamidin
Pada satu lagi perlawanan Kumpulan D, jam 10 malam ini, Kyrgyzstan bermain di tempat sendiri menentang Oman yang kini menerajui kumpulan selepas menewaskan Taiwan 3-0 pada perlawanan pertama.