comscore
Tumpuan :
Sukan

Olimpik Paris: ‘Jangan cemas’, Chong Wei kongsi kisah lucu di Olimpik

Foto Fail NSTP

Oleh: Fariz Fikri Zulkarnain

KUALA LUMPUR: Beberapa jam lagi sebelum upacara perasmian Sukan Olimpik Paris 2024 menyingkap tirainya, bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengingatkan atlet-atlet kebangsaan agar tidak cemas sewaktu pertandingan.

Menerusi hantaran terbaharu di laman media sosialnya, Chong Wei secara berseloroh berkongsi pengalaman pertamanya ketika beraksi di Sukan Olimpik Athens pada 2004.

“Saya nasihat atlit supaya jangan cemas. Tapi mustahil tak cemas. Semasa saya turun gelanggang semasa Olimpik pertama saya, walaupun bertemu Ng Wei dari Hong Kong, bergetar juga tangan kerana cemas. Peluh tak henti-henti membasahi baju yang dipakai. Fikiran menjadi kusut masai.

“Coach (jurulatih) nampak saya gelisah, dia tahu yang saya dah cemas. Dia pun hubungi Team Malaysia punya psychologist atau motivator bagi ketenangan,” katanya.

Tambah Chong Wei, individu itu kemudiannya datang dan memegang tangannya untuk memberi motivasi.

“Jason, jangan cemas. Ini kali pertama kau, saya tahu. Tapi Jason, teguhkan mental dan emosi. Jangan cemas.

“Saya pandang coach. Coach pandang saya. Kita heran. Sejak bila nama saya Jason.

“Saya pun tiao “Weh bro. Saya bukan Jason la. Orang itu balas, saya tau. Jason ialah nama saya. Saya pun cemas juga. Ini kali pertama saya jadi psychologist untuk acara begitu besar. Jadi sebelum saya motivate awak, saya motivate diri sendiri dulu,” jelasnya sambil ketawa bersama jurulatihnya ketika itu.

Pengalaman itu membuatkan Chong Wei tidak lagi cemas dan berjaya mengatasi Ng Wei sebelum tumpas kepada pemain China, Chen Long di pusingan kedua.

Namun bekas pemain nombor satu dunia itu berjaya bangkit di tiga Olimpik seterusnya dengan memenangi tiga pingat perak di Beijing 2008, London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

Selain itu, Chong Wei juga pernah bergelar naib juara dunia pada 2011, 2013 dan 2015 serta muncul satu-satunya pemenang terbanyak gelaran Super Series sebanyak 46 kali.

Pada usia 37 tahun, Chong Wei akhirnya mengumumkan persaraan selepas 19 tahun menabur bakti untuk negara berikutan masalah kanser hidung pada 2019.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini