KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Ujarnya, ruang perlu diberikan kepada badan penyiasat itu bagi melengkapkan siasatan yang dijalankan.
“Badan penyiasat akan masuk setiap kali menerima aduan daripada seseorang, tetapi selagi penyiasatan belum selesai, terlalu awal untuk mengulas mengenainya.
“Jangan kita membuat spekulasi dan berlaku adil kepada BAM sementara kita menunggu keputusan SPRM,” katanya.
Mengulas lanjut jelas Hannah, BAM merupakan satu persatuan sukan yang diuruskan dengan baik dan telah wujud sekian lama.
Justeru, segala dokumen jelasnya pastinya ditempatkan secara teliti dan sistematik.
“BAM ialah satu persatuan sukan yang diuruskan dengan baik, ia telah wujud sejak sekian lama.
“Saya pasti SPRM akan menemui dokumen-dokumen dan semua di tempat yang betul,” jelasnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melancarkan Kad Debit Visa Khas CIMB bagi membantu kanak-kanak palsi serebrum di ibu negara hari ini.
Terdahulu, BAM dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan pejabat persatuan itu didatangi SPRM minggu lalu bagi mendapatkan maklumat tertentu.
BAM turut memberikan kerjasama sepenuhnya seperti diminta badan penyiasat itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.