comscore
Tumpuan :
Sukan

Jaguh sukan perlu cemerlang ilmu akademik

Seramai lapan atlet negeri Selangor yang cemerlang dalam peperiksaan SPM 2023 menerima insentif kecemerlangan daripada kerajaan negeri Selangor, Jumaat lalu.

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

SHAH ALAM: Biar hebat bersukan, pastikan ilmu akademik tidak ketinggalan.

Kebolehan bersukan pastinya memerlukan disiplin yang tinggi bagi memastikan minat itu mendorong seseorang individu menjadi jaguh.

Berbekalkan semangat yang jitu, ilmu pengetahuan terutama akademik juga tidak wajar diketepikan kerana ia merupakan nilai tambah dalam menjadi ahli sukan yang berkualiti.

Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan Malaysia memaklumkan lebih 11,713 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 memperoleh sekurang-kurangnya gred A dalam semua mata pelajaran.

Tidak terkecuali calon SPM di negeri Selangor yang cemerlang dalam peperiksaan disamping aktif dalam pelbagai jenis sukan.

Seperti calon SPM, Tan Ann Tung yang aktif dalam sukan bola tampar, berjaya memperoleh 9A dalam mata pelajaran aliran sains tulen.

Tan Ann Tung, atlet sukan bola tampar

“Saya akan membuat ulang kaji jika saya ada masa macam malam. Saya serta kelas tambahan yang sangat membantu saya.

“Jika saya tidak pergi ke sekolah saya akan tanya guru atau kawan saya untuk membantu saya. Jadi saya dapat boleh catch up.” katanya kepada Buletin TV3.

Bijak mengatur waktu juga penting supaya dapat mengimbangi masa menimba ilmu dan bersukan.

Selain itu atlet sukan ragbi, Nurin Hannan Abdul Hadi turut memperoleh kecemerlangan dalam semua mata pelajarannya.

Atlet sukan ragbi, Nurin Hannan Abdul Hadi

“Saya cuba untuk tidak kasi saya penat jadi saya jaga waktu tidur saya sebab saya akan fokus dekat dalam kelas sahaja.

“Jadi bila saya balik rumah saya hanya belajar dan buat ulang kaji yang mana saya belajar di sekolah. Saya kena tahu badan saya juga, kalau saya terlebih menumpu pembelajaran saya jadi tak boleh ingat.” kongsinya.

Dorongan dan sokongan motivasi daripada semua terutama keluarga dan guru juga menjadi kunci utama untuk merealisasikan kejayaan itu.

Natasha Mohamed Roslan, atlet tenpin bowling

Sementara itu, jaguh sukan negara seperti Natasha Mohamed Roslan dan Nor Farah Ain Abdullah turut berkongsi; ilmu akademik perlu seiring agar ia boleh menjadi penyelamat di masa hadapan sekiranya tidak lagi bermain sukan.

“Ibu saya sendiri pun cikgu sekolah jadi tahu lah kalau cikgu sekolah ini dia tegas lagi jadi kalau saya tak belajar dia akan marah.

“Jadi dia akan cakap apa-apa akan datang pun kalau awak nak main bowling ke, sukan lain ke tapi pentingkan pelajaran kerana ilmu itu sentiasa ada, sukan kalau awak dah cedera, susah. Jadi kalau ada ilmu awak boleh mula bekerja atau sebagainya.” kata Natasha.

“Akademik itu teruskan belajar juga sebab sukan ini bila-bila masa saja kita boleh main walaupun kita ada sukan utama kita sendiri yang mana sukan ini tidak akan pernah berhenti.

Nor Farah Ain Abdullah, atlet bowling padang

“Pelajaran juga sama tidak akan pernah berhenti. Jadi menimba ilmu sambil bersukan itu sangat bagus.” ujar Farah.

Jumaat lalu, seramai lapan atlet negeri Selangor yang cemerlang dalam peperiksaan SPM 2023 menerima insentif kecemerlangan daripada kerajaan negeri Selangor.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini