Tumpuan :
Sukan

Jadual padat menyukarkan pemain – Garrido

Garrido (tengah) akui pemain sukar mendapatkan proses pemulihan yang terbaik susulan jadual padat. – FOTO: FAM

KUALA LUMPUR: “Jadual ketat memberi impak yang sangat besar kepada pasukan kami,” itu kata pengendali skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara, Juan Torres Garrido sejurus skuad remaja negara tewas di tangan Australia pada  Kejuaraan B-19 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2024 kelmarin.

Lebih mengecewakan Malaysia gagal mempertahankan kejuaraannya.

Bekas ketua pencari bakat Barcelona itu mengakui jadual padat memberikan kesukaran kepada pemain mereka untuk mendapatkan proses pemulihan yang terbaik.

“Kami menentang pasukan yang berada dalam keadaan yang lebih baik.

“Kalau melihat pertandingan antarabangsa, ia sepatutnya memberi rehat lebih daripada 24 jam tetapi kami menerima perkara ini,” katanya.

Pada perlawanan itu Malaysia tewas menerusi penentuan sepakan penalti 3-5 selepas terikat 1-1 pada aksi di Stadium Gelora Bung Tomo.

Garrido mengakui anak buahnya mendapat pengajaran yang berharga meskipun akur  menamatkan kempen kali ini di kedudukan keempat.

Pencapaian ini mungkin dianggap kurang memberangsangkan terutama selepas mereka mengungguli saingan peringkat kumpulan dan meledak 17 gol dan hanya bolos satu gol dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan.

“Kami beraksi menentang lawan yang berbeza di peringkat kumpulan. Tetapi apabila memasuki peringkat kalah mati, kami berdepan lawan penting yang lebih baik.

“Kami perlu berkembang dengan lebih baik lagi tetapi saya fikir pemain sudah menunjukkan persembahan yang bagus di pertandingan ini.

“Australia memulakan perlawanan seperti yang dijangka. Kami harus menjadi lebih baik kerana kami gagal mendapatkan jaringan menerusi beberapa peluang yang dicipta,” katanya seperti dilaporkan media Indonesia, bola.com.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini