Tumpuan :
Sukan

Izzuddin-Sze Fei terlepas cipta sejarah, bawa pulang RM445,000

Beregu profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei tewas kepada beregu Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dalam aksi tiga set pada final Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, malam ini.

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei terlepas peluang mencipta sejarah selepas tewas kepada gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen pada aksi final Jelajah Dunia Akhir BWF, di Hangzhou, sebentar tadi.

Pada penentuan kejuaraan di Gimnasium Olimpik Hangzhou itu, Izzuddin-Sze Fei yang menghuni ranking nombor tujuh dunia cuba memberi tentangan apabila berjaya mengheret lawan yang berada di kedudukan ketiga dunia hingga ke set penentuan.

Astrup-Rasmussen bermula garang apabila menang set pertama 21-17 tetapi Izzuddin-Sze Fei masih belum mahu mengangkat bendera putih apabila menampilkan permainan lebih kemas dan tersusun untuk bangkit memenangi set kedua juga dengan keputusan 21-17.

Set penentuan menyaksikan beberapa kesilapan mudah dilakukan Izzuddin-Sze Fei mengundang padah buat mereka yang membolehkan pasangan Denmark mendominasi permainan sebelum menoktahkan kemenangan dengan keputusan 21-11 dalam tempoh 65 minit.

Sebagai rekod, ia kekalahan kedua berturut-turut Izzuddin-Sze Fei ke atas lawan berkenaan dalam kejohanan kali ini selepas turut tewas ketika aksi sulung peringkat Kumpulan A, Rabu lalu.

Sejak Jelajah Dunia Akhir BWF diperkenalkan pada tahun 2018 bagi menggantikan Siri Super Akhir BWF, tiada wakil Malaysia yang pernah muncul juara kejohanan itu.

Bagi Izzuddin-Sze Fei yang kali pertama beraksi pada kejohanan penamat musim itu, gelaran naib juara tetap satu pencapaian membanggakan.

Mereka juga boleh tersenyum lebar apabila membawa pulang hadiah wang tunai AS$100,000 (RM445,000) selaku naib juara.

Astrup-Rasmussen yang muncul juara meraih habuan sebanyak AS$210,000 (RM934,500).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini