KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei melakar kejutan apabila menewaskan juara Olimpik Paris 2024, Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan sekali gus mengesahkan tiket ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, sebentar tadi.
Izzuddin-Sze Fei mempamerkan aksi luar biasa seterusnya meraih kemenangan 24-20, 21-12 dalam tempoh 42 minit dalam aksi terakhir Kumpulan A di Gimnasium Olimpik, Hangzhou.
Nyata kejayaan itu memberi makna yang besar buat Sze Fei kerana selain dapat melayakkan diri ke kelompok empat terbaik dia juga akan berdepan Lee Yang-Chi Lin sebagai gandingan buat kali terakhir.
Kemenangan itu membolehkan pasangan nombor tujuh dunia berkenaan mengakhiri saingan kumpulan di kedudukan kedua di belakang gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen yang muncul juara kumpulan.
Sementara itu Izzuddin berkata, dia dan Sze Fei gembira apabila berjaya menempatkan diri ke kelompok empat terbaik.
Namun katanya, mereka tidak boleh lagi menarik nafas lega kerana masih banyak yang perlu diperbaiki bagi menghadapi aksi seterusnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.