KAJANG: Jawatankuasa Program Road to Gold (RTG) sedia mempertimbangkan keputusan menyenarai masuk beregu lelaki profesional negara Nur Izzuddin Mohd Rumsani-Goh Sze Fei dalam program berkenaan pada mesyuarat akan datang.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata ia dibuat selepas beregu lelaki berkenaan berjaya menampilkan aksi cemerlang pada beberapa kejohanan sebelum ini, sekali gus menepati kriteria untuk disenaraikan dalam RTG iaitu berada di kelompok 10 terbaik dunia.
“Prestasi mereka (Sze Fei-Nur Izzuddin) memang semakin meningkat dan saya ucapkan tahniah kepada mereka. Saya berharap mereka dapat teruskan konsistensi ini.
“Sekarang ini untuk RTG memang kedudukan 10 terbaik dunia dalam bidang sukan masing-masing, kita akan bantu mereka ke Sukan Olimpik.
“Saya kira dengan prestasi Sze Fei dan Nur Izzuddin ada harapan besar untuk kita masukkan dalam jawatankuasa RTG,” katanya.
Semalam, Sze Fei-Nur Izzuddin berjaya meraih kejuaraan ketiga mereka selepas memenangi acara beregu lelaki pada Terbuka Artik selepas menumbangkan beregu kedua dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skarup Rasmussen 15-21, 21-15, 21-19. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.