comscore
Tumpuan :
Sukan

Izzat naik podium, raih tempat kedua

PETALING JAYA: Pelumba Malaysia Pro Cycling, Muhd Izzat Hilmi Abdul Halil berjaya menaiki podium selepas menamatkan perlumbaan Jelajah Banyuwangi 2024 di tempat kedua.

Saingan bagaimanapun turut dihiasi dengan insiden kemalangan pada 100m terakhir menuju penamat.

Tiga pelumba Terengganu Cycling (TSG), Aiman Cahyadi, Nur Amirul Fakhruddin Mazuki dan Metkel Eyob antara yang terbabit dalam insiden berkenaan.

Namun, tumpuan tetap terarah kepada Izzat yang berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kedua di belakang pemenang, Martin Laas dari pasukan Ferei Quick-Panda Podium Mongolia.

Peringkat kedua perlumbaan dari Alaspurwo menuju ke banyuwangi membabitkan laluan sejauh 147.8km, menawarkan tiga zon pecutan dan satu zon pendakian kategori 4 di Songgoh.

Dan sebaik bermula, ada cubaan beberapa pelumba untuk membuat pecahan.

Namun, hanya pelumba Australia, Bentley Niquet-Olden berjaya membuat gerakan solo, memimpin hampir sepanjang laluan perlumbaan.

Sehinggalah berbaki 4km terakhir, Niquet-Olden akhirnya ditangkap peloton besar, memberi petanda, henjutan beramai-ramai menuju penamat.

Dan ketika saingan berbaki 100m terakhir, insiden kemalangan berlaku, namun tidak menyekat rentak kayuhan pelumba-pelumba bahagian hadapan untuk bersaing.

Laas berjaya mengungguli perlumbaan, diikuti Izzat di tangga kedua, manakala Terry Kusuma dari pasukan Kelapa Gading Bikers ketiga.

Jersi polka-dot raja bukit kini menjadi milik Niquet-Olden yang mengumpul 4 mata, sementara ryan Cavanagh dari pasukan Kinan Racing cemerlang memegang jersi hijau raja pecut.

Dan turut mengekalkan jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan dengan kelebihan 8 saat berbanding pencabar terdekat, Boris Clark dari pasukan St. George Continental Cycling.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini