Tumpuan :
Sukan

Iraq buat Jepun terkedu

Pemain Iraq meraikan kejayaan menewaskan Jepun 2-1 pada aksi Kumpulan D Piala Asia di Doha.-Foto Ihsan AFC

DOHA: Iraq melangkah ke fasa kalah mati Piala Asia di Doha  dengan catatan paling manis, menundukkan pasukan nombor satu Asia Jepun 2-1 pada aksi Kumpulan D.

Berlangsung di Stadium Education City malam tadi Ayman Hussein muncul wira apabila menjaringkan kedua-dua gol Iraq.

“Sesuatu yang mustahil untuk mencipta permainan sempurna, tetapi kami menghampirinya, hari ini detik gemilang buat rakyat Iraq,” kata jurulatih Iraq, Jesus Casas.

Ayman mengejutkan Jepun seawal minit ke-6 menerusi tandukan selepas penjaga gol Zion Suzuki gagal menampan kemas hantaran lintang Ali Jasim.

Jepun menggandakan asakan memburu gol penyamaan tetapi sukar memecah pendekatan taktikal bertahan Iraq.

Sebaliknya Iraq menggandakan kelebihan pada masa kecederaan babak pertama, sekali lagi menerusi tandukan Ayman yang kali ini menyempurnakan hantaran Aymed Yahya.

“Bolos pada minit-minit akhir separuh masa pertama memang menjejaskan kami, seterusnya menjadi satu perlawanan yang sukar,” ujar jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu.

Jepun mendapat gol saguhati menerusi tandukan Wataru Endo pada minit-minit akhir permainan.

Ini kekalahan pertama Jepun dalam peringkat kumpulan Piala Asia sejak 1988.

Selepas dua perlawanan, Iraq di tangga teratas mengumpul enam mata, Jepun dan Indonesia masing-masing meraih tiga mata, manakala Vietnam  tercorot tewas kedua-dua perlawanan.

Perlawanan pertama Iraq menewaskan Indonesia 3-1, Jepun pula mengalahkan Vietnam 4-2.

Perlawanan terakhir Kumpulan D Rabu ini, Jepun akan menentang Indonesia manakala Iraq bertemu Vietnam.

Loading...
Terkini