LONDON: Bintang pop Ed Sheeran menggunakan statusnya sebagai penyokong tegar Ipswich untuk membantu kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mengikat seorang pemain sebelum permulaan musim ini.
Sheeran adalah penyokong seumur hidup Ipswich dan menjadi penaja jersi kedua-dua pasukan lelaki dan wanita sejak tahun 2021.
Personaliti berusia 33 tahun itu membeli 1.4 peratus pegangan saham minoriti kelab itu pada Ogos lalu susulan kenaikan mereka ke liga utama Inggeris buat kali pertama dalam tempoh 22 tahun.
Penyanyi-penulis lagu Sheeran, yang juga pemenang anugerah Grammy empat kali, turut mendapat peranan baharu di Ipswich.
Pengerusi kelab Mark Ashton mendedahkan beliau memainkan peranan penting dalam pembelian seorang pemain selepas menyertai panggilan video dengan kemungkinan untuk menandatangani kontrak.
“Seorang lelaki tempatan, superstar global, penaja kelab bola sepak, pemegang saham dan kini secara rasmi menjadi sebahagian daripada pasukan pengambilan pemain kami,” kata Ashton pada acara Soccerex semalam.
“Pada musim panas lalu kami cuba memujuk seorang pemain untuk menyertai kelab ini dan pantas menyedari dia seorang peminat Ed Sheeran.
“Ed melakukan panggilan Zoom bersamanya di tempat latihan sejurus sebelum dia menaiki pentas bersama Taylor Swift, dengan harapan ia menjadi kunci utama pemain itu membuat keputusan.
“Kami meningkat dari divisyen ketiga bola sepak Inggeris ke Liga Perdana, tetapi kami tidak lupa asal usul kami dan Ed menjadi sebahagian daripadanya, kerja yang kami lakukan terhadap komuniti tempatan adalah penting buat kami.”
Ditanya sekiranya pemain yang tidak dinamakan itu bertindak cemerlang buat Ipswich, Ashton membalas: “Sudah tentu menjaringkan beberapa gol!”
Sejak hujung musim lalu, Ipswich mengikat penyerang Blackburn, Sammie Szmodics, yang meledak tiga gol dalam kempen semasa dan penyerang Manchester City, Liam Delap, yang menyumbat enam gol musim ini. – Agensi
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.