KUALA LUMPUR: Pemain bola sepak wanita negara terus mencuri tumpuan antarabangsa selepas seorang lagi pemain kebangsaan, Intan Serah Anisah Zulgafli bakal beraksi di Amerika Syarikat.
Perkembangan itu disahkan pemain itu sendiri menerusi laman instagramnya yang menjelaskan dia akan beraksi bersama New York Dutch Lions FC dalam saingan Liga Premier Bolasepak Wanita (WPSL).
Justeru, pemain skuad Malayan Tigress itu mengharapkan penyokong bola sepak negara sentiasa mendoakan kejayaannya ketika berkelana di negara terbabit.
“Doakan saya di New York, United States bersama kelab New York Dutch Lions untuk perlawanan disana, Bismillah,” katanya.
Pemain berusia 24 tahun itu sebelum ini menjadi aset penting dalam pasukan wanita kebangsaan ketika beraksi di Sukan Sea Kemboja pada bulan lalu.
Sebagai rekod, Intan Serah yang sebelum ini pernah beraksi dalam skuad futsal negara muncul pemain wanita ketiga melebarkan sayap di luar negara.
Sebelum ini, penjaga gol wanita negara iaitu Nurul Azurin Mazlan bermain di Liga India bersama Misaka United FC serta Celine Chuang yang menyertai kelab gergasi Jerman, Bayern Munich pada 2021.
Sementara itu, New York Dutch Lions FC turut menantikan ketibaan pemain itu yang bakal memperkasa pasukan terbabit bagi mengharungi musim baharu.
“Berlaku sedikit penangguhan kerana visa yang dia perlukan dari kedutaan. Namun, sekarang, semuanya sudah diselesaikan dan dia boleh memulakan perjalanannya bersama kami.”Selamat datang ke New York dan kami teruja untuk memiliki anda Intan!,” kata kelab itu.