Oleh: Hasnida Hanim Ahmad Kamil
CHENGDU, CHINA: Tumpuan olahraga kepada kuartet 4 x 100 meter lelaki dan wanita negara di Universiade Chengdu berakhir dengan kekecewaan pada aksi saringan di Stadium Pusat Sukan Shuangliu.
Kuartet wanita yang dibarisi Chelsea Cassiopea, Nor Sarah Adi, Nur Afrina Batrisyia dan Nur Aishah Rofina yang berlari di lorong ke-tujuh saringan ke-dua menduduki tempat ke-4 dengan masa 45.66 saat.
Tempat pertama dikuasai kuartet China dengan masa 43.84 saat, diikuti Chinese Taipei 44.91 saat dan ketiga Brazil dengan masa 44.97 saat untuk layak ke final.
Manakala kuartet lelaki negara dibarisi Muhammad Yurisdzwan, Jonathan Nyepa, Muhammad Thaqif dan Aqil Yasmin beraksi pada saringan pertama di lorong ke-8 juga terkandas untuk mara ke final.
Malaysia menduduki tempat ke-5 dengan catatan 40.40 saat. Manakala Afrika Selatan memenangi saringan ini dengan masa 38.73 saat, diikuti Jepun di tempat ke-2, 38.98 saat. Thailand di kedudukan ke-3 menerusi catatan 39.15 saat untuk masing-masing layak ke final, esok.