DOHA: Impian besar Indonesia untuk melangkah ke final Piala Asia bawah 23 tahun (B-23) tidak kesampaian.
Pasukan Garuda muda itu tewas kepada Uzbekistan 0-2 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Abdullah bin Khalifa, di sini, awal pagi tadi.
Uzbekistan tampak lebih menguasai perlawanan, namun gagal menghasilkan sebarang jaringan sepanjang babak pertama.
Walaupun anak-anak buah Shin Tae-yong berjaya mengejutkan juara 2018 itu apabila Muhammad Ferarri berjaya meledak gol pembukaan pada minit ke-61, namun kegembiraan penyokong Indonesia bagaimanapun terhenti apabila jaringan itu dibatalkan.
Hasil semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati Ramadhan Sananta dikesan berada dalam posisi ofsaid sebelum Ferarri meledak gol.
Tujuh minit selepas itu, Uzbekistan mengecewakan penyokong skuad Garuda Muda apabila berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-68 selepas Husain Norchaev menyudahkan hantaran Muhammadqodir Hamraliev.
Malang skuad Indonesia berterusan apabila Uzbekistan memperoleh jaringan kedua hasil gol sendiri Pratama Arhan ketika perlawanan berbaki empat minit dan kedudukan itu kekal hingga wisel penamat.
Peluang Indonesia untuk meraih tiket ke Olimpik Paris 2024 masih terbuka yang mana mereka perlu memenangi aksi penentuan tempat ketiga berdepan sama ada Jepun atau Iraq, Khamis ini. – AGENSI
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.