MELAKA: Olusegun Ifedayo muncul wira PDRM apabila dua jaringannya membantu The Cops mara ke separuh akhir Piala Cabaran 2024 selepas menewaskan Melaka FC 2-1 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.
Kemenangan tipis pada aksi pusingan kedua terbabit sudah cukup untuk membantu PDRM mara selepas mengatasi lawan dengan agregat 4-3 berikutan terikat 2-2 pada pusingan pertama sebelum ini.
Bermain dengan keazaman menafikan cabaran Melaka FC yang beraksi di laman sendiri, PDRM menurunkan barisan terbaiknya.
Kesungguhan mereka untuk mendapatkan gol awal berhasil menerusi tandukan Ifedayo pada minit ke-10 perlawanan.
Tuan rumah memiliki beberapa peluang untuk mencipta jaringan namun gagal menyudahkannya yang menyaksikan kedudukan 1-0 kekal sehingga berakhir 45 minit pertama perlawanan.
Memasuki babak kedua Melaka FC yang beraksi di Liga A1 Semi Pro bermain lebih agresif dalam usaha mereka memburu jaringan penyamaan dan usaha itu berbalas menerusi penyudah Mohd Hafiz Mohd Johar pada minit ke-59 perlawanan.
Ketika perlawanan seakan diheret ke masa tambahan, Ifedayo muncul wira PDRM selepas tolakannya berjaya menghasilkan gol kedua pasukan pada minit ke-92 sekaligus menghampakan impian Melaka untuk mencipta kejutan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.