Tumpuan :
Sukan

Hujan diramal pada hari perlumbaan MotoGP Malaysia

SEPANG: Litar Antarabangsa Petronas Sepang akan bersiap sedia dengan ramalan cuaca hujan pada sebelah petang hari perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Grand Prix (GP) Malaysia 2023 hujung minggu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata pihaknya telah bersiap sedia menghadapi pelbagai kemungkinan termasuk perubahan jadual perlumbaan seperti berlaku di GP Australia sebelum ini.

“Peluang tinggi untuk hujan (hujung minggu ini) dan macam-macam boleh berlaku, ada kalanya bila diramal hujan, tiba-tiba ia tidak berlaku.

“Saya harap agar pada Sabtu dan Ahad, keadaan cuaca mengizinkan untuk perlumbaan diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan   perlawanan ping pong antara pelumba MotoGP dan dua pemain kebangsaan Choong Javen dan Ho Ying, serta pengamal media dan pempengaruh media sosial di sini hari ini.

Antara pelumba MotoGP yang akan bersaing di Sepang ialah Alex Marquez (Gresini Racing), Luca Marini (Mooney VR46), Raul Fernandez dan Miguel Oliveira (RNF MotoGP Racing).

Pada bulan lepas, perlumbaan GP Australia di Litar Philip Island terpaksa dilangsungkan sehari lebih awal kerana cuaca hujan.

Bagaimanapun kata Azhan, sebarang perubahan jadual perlumbaan tertakluk kepada keputusan Dorna Sports yang merupakan pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen MotoGP.

“Perkara utama kita perlu ambil kira ialah keselamatan pelumba. Jika hujan terlalu lebat dan permukaan litar tak selamat, mungkin Dorna Sports akan putuskan,” katanya.

Beliau memaklumkan sebanyak 85 peratus tiket GP Malaysia telah terjual dan pihaknya menjangkakan jualan terus meningkat sehingga hari perlumbaan pada Ahad.

Loading...
Terkini