IPOH: Perlawanan Liga Super antara Perak FC dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak, di sini, malam ini ditunda buat kali kedua ekoran cuaca hujan.
Perlawanan terakhir di stadium itu yang diharapkan menjadi kenangan indah kepada penyokong khususnya tuan rumah bertukar mendukacitakan.
Sebelum itu, pemain kedua-dua pasukan dapat menjalani sesi memanas badan dengan lancar walaupun keadaan padang agak berlecak disebabkan hujan lebat melanda Ipoh sejak petang tadi.
Bagaimanapun, perlawanan yang sepatutnya bermula jam 8.15 malam ditangguhkan sebanyak dua kali kepada 8.45 malam, seterusnya 9.15 malam oleh Komisioner Perlawanan, Teoh Hee Loon memandangkan hujan masih belum berhenti.
Pada jam 9.50 malam ketika tiada sebarang kelibat pemain kelihatan, pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan perlawanan ditangguhkan atas faktor cuaca dan keadaan padang yang tidak mengizinkan, serta MFL akan menentukan tarikh baharu.
Perlawanan antara dua pasukan itu malam ini adalah berikutan perlawanan asal pada 17 Ogos lalu terpaksa ditunda akibat cuaca buruk.
Ketika itu, skuad Seladang dan Harimau Selatan hanya sempat bermain dalam tempoh kurang empat minit sahaja.
Ini adalah perlawanan terakhir skuad Seladang di stadium itu sebelum berpindah ke Stadium Manjung bagi memberi laluan kepada kerja-kerja naik taraf padang di Stadium Perak.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.