Tumpuan :
Sukan

Hubungan saya dengan Misbun istimewa – Norza

Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengakui, hubungannya dengan legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek sebagai ‘istimewa’

Meskipun ada pihak yang mempersoalkan tindak-tanduknya jika ia berhubung kait dengan Misbun.

“Hubungan saya dengan Misbun sangat istimewa sehingga ada ahli majlis yang mempersoalkan tindakan saya apabila memberi kebebasan sepenuhnya kepada Misbun untuk membuat keputusan ketika dia berada di BAM (Persatuan Badminton Malaysia),” katanya.

Tambah Norza, beliau sanggup mengeluarkan wang saku miliknya sendiri untuk membayar separuh gaji Misbun sewaktu ingin memujuk legenda badminton negara itu kembali ke pangkuan BAM.

“Ini sejarah saya dengan Misbun. Ketika saya mengambil alih tugas sebagai Presiden BAM pada 2017, saya presiden baru yang tak ada pengalaman lampau.

“Bila saya cakap dengan ahli majlis untuk bawa Misbun kembali ke BAM, mereka kata mungkin ada masalah selepas isu 2000 kerana Misbun sebelum ini pernah tinggalkan BAM.

“Tapi saya tidak pernah fikir itu satu isu dan sebagai presiden saya perlu fikir hala tuju BAM. Hala tuju saya ketika itu adalah untuk melahirkan lebih banyak (Datuk Lee) Chong Wei kerana ketika itu era Chong Wei sudah di penghujung.

“Jadi kenapa kita tak bawa Misbun yang sudahpun lahirkan Chong Wei, Roslin dan Hafiz Hashim.

“Pada ketika itu keadaan BAM tidak selesa seperti hari ini. Saya ambil keputusan untuk mengambil Misbun dengan kontrak dua tahun yang mana gajinya dibayar separuh oleh BAM dan separuh lagi saya.

“Ini kerana saya ingin lihat ikon baru muncul sebagai ikon legenda Melayu,” katanya.

Selepas kontrak dua tahun Misbun tamat, Norza melantik Misbun sebagai Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja.

Di bawah jawatan itu, Misbun mempunyai kuasa sepenuhnya untuk melakukan apa saja kerana mendapat restu dari Norza biarpun beberapa ahli majlis tidak bersetuju.

Malah, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh turut mengakui perkara berkenaan yang mana Misbun diberi kebebasan penuh untuk memilih siapa dan apa yang diinginkannya.

“Misbun diberi kebebasan penuh untuk buat apa yang dia inginkan.“Termasuk memilih jurulatih pun dia diberi kuasa sepenuhnya untuk melantik dan memilih. Ramai yang tidak setuju dia membawa masuk anaknya, Ramdan (Misbun) kita tak bantah walaupun ada yang tak setuju.

“Tapi bagi BAM biar dia teruskan dan benarkan apa yang dia nak buat,” katanya.

Misbun sebelum ini tampil dengan memaklumkan bawa beliau merasa terkilan dengan tindakan Norza yang seperti mengambil sikap lepas tangan berhubung kesnya.

Individu nombor satu BAM itu yang sebelum ini pernah merayu kepadanya untuk kembali ke pangkuan BAM dan akhirnya seperti tidak mempedulikan tindakan jawatankuasa khas yang memutuskan untuk menamatkan kontraknya.

Jelas Misbun, beliau dapat menerima keputusan berkenaan jika ia datang dari mulut Norza sendiri dan bukannya dari Subramaniam seperti yang berlaku sebelum ini.

“Pada mulanya, saya dimaklumkan oleh Datuk V Subramaniam (Timbalan Presiden BAM) bahawa Misbun setuju dengan perkara itu (penamatan kontrak) jadi saya menganggapnya selesai.

“Jika dia kata Misbun tak setuju saya akan jumpa dengannya sebab hubungan istimewa saya dengan Misbun sebelum ini.“Memang dia pernah kata, bosnya hanya satu iaitu Norza,” katanya.

Justeru Norza berharap kemelut yang berlaku akibat salah faham ini dapat dijernihkan semula kerana tidak mahu hubungannya dengan Misbun terus keruh.

Loading...
Terkini