Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Lebih 10,000 peserta menyertai Larian Ria MADANI dan Berjalan untuk Negara sempena Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya, di sini pagi ini.
Pelepasan acara berkenaan pada jam 7.35 pagi disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, barisan Ketua Setiausaha Kementerian dan pengurusan tertinggi kerajaan.
Program turut dimeriahkan dengan penampilan istimewa atlet-atlet negara seperti jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang serta olahraga para negara, Datuk Abdul Latif Romly dan Muhammad Ziyad Zolkefli.
Terdahulu, dalam ucapan perasmian HSN Peringkat Kebangsaan 2024, Hannah berkata, Malaysia kini mempunyai 103 aktiviti sukan yang diwartakan dalam Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) berbanding 51 jenis sukan sebelum ini.
Selain itu, jelasnya, mulai tahun ini, perbelanjaan yuran keahlian gimnasium, pembelian peralatan sukan dan mengikuti latihan atau kelas e-sukan, layak untuk menikmati pelepasan cukai sehingga RM1,000.
“Rakyat Malaysia boleh cari sukan yang sesuai. Tiada alasan untuk tidak bersukan. Pilih satu (sukan),” katanya.
Menurut Hannah, HSN 2024 bertemakan ‘Cergas Bersama’ disambut serentak di seluruh negara dengan sasaran penyertaan keseluruhan seramai 4.5 juta orang.
Bagaimanapun, penganjuran sambutan HSN Peringkat Negeri dan Bahagian di Sarawak diselaraskan semula ke 19 Oktober ini bagi menghormati Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
“Hari ini kita telah mengingatkan rakyat Malaysia bahawa sukan adalah satu gaya hidup yang kita nak ketengahkan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.