Tumpuan :
Sukan

Hon Jian – Muhammad Haikal julang kejuaraan kedua

Choong Hon Jian – Muhammad Haikal Nazri meraikan kejuaraan kedua berturut-turut mereka di India. FOTO: BAM / Facebook

PETALING JAYA: Beregu lelaki negara, Choong Hon Jian – Muhammad Haikal Nazri terus menggegar apabila meraih gelaran kedua di bumi India dengan menjuarai Kejohanan Badminton Masters Guwahati menundukkan pasangan Taiwan, Lin Bing Wei – Su Ching Heng di Assam, sebentar tadi.

Pada perlawanan akhir yang berlarutan 39 minit itu, Hon Jian – Muhammad Haikal berdepan tentangan hebat lawan sebelum memenangi set pertama 21-17.

Set kedua lebih mendebarkan apabila beregu Taiwan tampil lebih kemas untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Bagaimanapun Hon Jian, 23 dan Muhammad Haikal, 20,  tidak mudah goyah dan tetap fokus ‘melayan’ cubaan lawan untuk bangkit.

Pasangan negara memastikan kejuaraan apabila menamatkan set kedua 23-21.

Minggu lalu, Hon Jian – Muhammad Haikal yang berada di ranking ke-93 dunia, mencuri tumpuan apabila mengejutkan beregu ke-16 dunia dari Jepun,  Akira Koga-Taichi Saito 18-21, 21-18, 21-16 untuk menjuarai  Kejohanan Syed Modi di Lucknow, India

Kejohanan Masters Guwati siri jelajah BWF Super 100 menawarkan wang tunai keseluruhan USD100,000.

Loading...
Terkini