Oleh Al Shaiful Nazib Talib
BUKIT JALIL: Kelab Hoki Terngganu (THT) meneruskan dominasi pada kempen Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini apabila merakam kemenangan besar 5-1 ke atas UiTM HA-KPT pada aksi separuh akhir pertama Piala TNB.
Pesta THT bermula seawal minit ke 2 menerusi jaringan Ismail Abu sebelum dia menjaringkan gol kedua peribadi pada minit ke 18.
Minit ke 21, giliran pemain import Korea Selatan, Jang Jong Hyun mencetak nama selaku penjaring selepas dia menyempurnakan pukulan sudut penalti.
Gol keempat THT bagaimanapun menyusul pada minit ke 42, sekali lagi hasil ketajaman pukulan sudut penalti Jong Hyun.
UiTM cuba melawan dengan gol saguhati Wan Haziq Hisyamuddin Wan Ameer Ruzman pada minit ke 56.
Namun pantas dibalas Faisal Saari dua minit berselang, melengkapkan kemenangan 5-1 memihak THT.
Dalam satu lagi aksi separuh akhir Piala TNB, pertemuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Maybank berakhir dengan keputusan seri 2-2.
TNB terpaksa menunggu sehingga minit ke 19 sebelum Muhd Azrai Aizad Abu Kamal mencipta gol padang.
Namun, ia dibalas dengan gol sudut penalti oleh Maybank yang disempurnakan oleh Muhd Razie Rahim.
TNB kembali di depan pada minit ke 47 selepas giliran Syed Mohd Syafiq Syed Cholan pula mencipta gol sudut penalti.
Bagaimanapun, ketika permainan berbaki 4 minit, Muhajir Abdu Rauf sempat menggandakan jaringan buat Maybank untuk perlawanan berakhir dengan keputusan seri 2-2.
Kedua-dua pasukan akan bertemu semula esok pada aksi separuh akhir kedua bagi menentukan pasukan yang akan mara ke perlawanan akhir Piala TNB musim ini.