KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Arul Selvaraj terpaksa mengorbankan ‘orang kanannya’ iaitu penolong jurulatih, Muhamad Amin Rahim yang tidak akan bersama pasukan bagi menghadapi saingan Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar-Rourkela, India pada 13 hingga 29 Januari ini.
Arul berkata ketiadaan Amin disebabkan jurulatih itu berdepan dengan kekangan masa bagi mempersiapkan skuad projek khas lelaki yang dalam persiapan menghadapi Piala Dunia Hoki Remaja 2023 di Kuala Lumpur, hujung tahun ini.
Selain itu, katanya keputusan itu juga dibuat disebabkan beberapa halangan lain termasuk isu logistik di India membabitkan dua venue di sana selain faktor hanya 30 kad akreditasi diperuntukkan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) untuk satu pasukan.
Arul mengakui ia satu kehilangan besar buat pasukannya namun percaya ia tidak akan menjejaskan misi mereka untuk melepasi saingan peringkat kumpulan.
“Saya sentiasa mahukan yang terbaik bersama saya, sebab itu saya ada ramai staf kejurulatihan kerana mereka tulang belakang saya. Namun, Piala Dunia kali ini ada perubahan kerana hanya 30 kad akreditasi diberikan kepada satu pasukan.
“Jadi, saya tidak dapat gunakan kepakaran empat hingga lima staf seperti pakar pemakanan, psikologi, pegawai media, fisioterapi dan paling ketara sekali orang kanan saya iaitu Amin Rahim.
“Amin perlukan masa kerana Piala Dunia Hoki Remaja di Malaysia tahun ini. Skuad remaja juga baru berlatih semalam (kelmarin) dan perlu bersiap ke Australia pada 18 Januari sebelum ke Piala Remaja Asia 2023,” katanya ketika sidang media selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad negara yang disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.
Arul bagaimanapun, memberitahu Amin yang tetap membantu Malaysian Tigers biarpun tanpa kelibatnya bersama pasukan di sana.
Pada saingan Piala Dunia kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama New Zealand, Chile dan juara tiga kali, Belanda.
Skuad negara yang berada di kedudukan ranking ke-11 dunia akan menghadapi dua aksi peringkat kumpulan di Stadium Hoki Birsa Munda, Rourkela menentang Belanda (14 Januari) dan Chile (16 Januari) sebelum bertemu New Zealand di Bhubaneswar pada 19 Januari. – BERITA HARIAN