Tumpuan :
Sukan

HOKI: Negeri Sembilan cipta sejarah tersendiri, rakam kejuaraan ‘treble’

Pasukan Negeri Sembilan raikan kejayaan menjuarai Piala Vivian May Soars.

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

BUKIT JALIL: Negeri Sembilan mengesahkan kejuaraan ‘treble’ sulung selepas berjaya menjulang trofi Vivian May Soars, menewaskan KPT-Uniten Thunder menerusi kemenangan 3-2 pada penentuan ‘shootout’ berikutan keputusan seri 1-1 pada aksi sepenuh masa.

Ia selepas Negeri Sembilan sebelum ini turut memenangi Piala Sumbangsih sebelum meraih kejuaraan berganda selepas mengungguli saingan liga, mencatat sejarah tersendiri selaku pasukan wanita pertama meraih tiga kejuaraan dalam satu musim.

Lebih manis, kemenangan ke atas KPT turut mengakhiri dominasi pasukan itu yang telah menjulang trofi sama untuk tiga musim berturut-turut.

“Syukur ke hadrat ilahi yang mana kami dapat kejayaan kali ketiga dan satu sejarah buat Negeri Sembilan dan buat diri kami satu pasukan.

“Ketika kedudukan satu sama, kami memang sudah bersedia untuk aksi penentuan ‘shootout’, kami memang sudah bersedia dengan tindak balas pasukan lawan, mereka juga ada peluang, tetapi kami dapat memanfaatkan peluang ‘shootout’ itu.

“Sangat berpuas hati dengan prestasi pasukan kerana semuanya atas semangat sepasukan, hingga minit yang terakhir, itu yang saya mengingatkan kawan-kawan yang lain, satu sejarah untuk Negeri Sembilan pegang tiga piala,” kata Nuraini Abdul Rashid, kapten pasukan Negeri Sembilan selepas perlawanan.

Pada perlawanan akhir Piala Vivian May Soars, kedua-dua pasukan, Negeri Sembilan dan KPT-Uniten Thunder jelas berada dalam prestasi terbaik dengan masing-masing saling berbalas serangan sejak dari awal lagi.

Kelebihan mula memihak Negeri Sembilan selepas Nuramirah Shakirah Zulkifli memecah kebuntuan pada minit ke 21, hasil jaringan padang.

KPT bagaimanapun tetap berusaha keras untuk mencari gol penyamaan, dan nyata ia berhasil apabila dihadiahkan pukulan penalti stroke.

Iren Hussin tidak mempersiakan peluang, kembali mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke 43.

Suku keempat, Negeri Sembila mula ditekan selepas dua pemain, Nuramirah dan Ellya Syahirah Ellias dilayangkan kad kuning.

Namun, kelebihan yang dimiliki gagal digunakan KPT sebaiknya sebelum perlawanan sepenuh masa tamat dengan keputusan seri 1-1.

Penentuan ‘shootout’, Negeri Sembilan raih kelebihan 2-0 selepas Nur Afiqah Syahzani Azhar dan Hanis Nadiah Onn berjaya menyempurnakan pukulan.

Namun, KPT bangkit menerusi Nur Asfatina Isahyifiqa Isahhudin dan Raja Norsharina Raja Shabuddin.

Noraini kemudiannya menjadikan kedudukan 3-2 buat Negeri Sembilan dan tumpuan terarah kepada Nur Zafirah Aziz untuk menyelamatkan KPT.

Bagaimanapun, pukulan Zafirah tersasar menyaksikan Negeri Sembilan sah bergelar juara dengan keputusan penuh 3-2.

Lebih manis, ini adalah kejuaraan ‘treble’ buat Negeri Sembilan selepas turut menjulang Piala Sumbangsih dan Liga Hoki Malaysia.

Loading...
Terkini