
SEPANG: Pasukan hoki dalam dewan negara berlepas ke Kemboja hari ini dengan misi penting yang akan dilunaskan barisan lelaki dan wanita.
Mengikut sasaran, kedua-dua barisan diletakkan sebagai prospek pingat emas kontinjen negara di Sukan SEA kali ini.
“Kita diharapkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menang emas lah. Tapi kita akan cuba sedaya upaya, untuk kekalkan kejuaraan pingat emas tersebut” jelas Mohd Hanip Che Halim yang menggalas tugas jurulatih lelaki.
Mereka antara yang terawal terbang memandangkan dijadual membuka tirai kempen dua hari lagi.
Barisan masing-masing diperkuat 12 pemain itu turut menyenaraikan tonggak pasukan kebangsaan hoki padang sebelum ini antaranya Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, Raja Norsharina Raja Shahbuddin dan Nuraslinda Said.
Selain Malaysia, lima lagi negara iaitu Thailand, Singapura, Indonesia, Filipina dan Kemboja mengambil bahagian di Dinosaur Park Hall, Chroy Changvar.
“Setakat ini yang kita tengok cabaran yang ada dari pasukan Thailand dan Indonesia, yang lain harap-harapnya kita rasa boleh menanglah” kata jurulatih pasukan wanita Mohd Badrul Hisham Osman di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang hari ini.
Pasukan negara menjadikan Perth, Australia sebagai pangkalan latihan dan perlawanan persahabatan persediaan awal bulan ini dikala pencabar utama Thailand dan Indonesia memilih ke Eropah.
Malaysia akan membuka tirai perlawanan bertemu Singapura dalam saingan wanita pada Isnin jam 3:15 petang (waktu Malaysia) sementara skuad lelaki akan bertemu tuan rumah, Kemboja, jam 7:00 malam (waktu Malaysia) hari yang sama.
Hoki dalam dewan mula dipertandingkan di Kuala Lupur pada 2017 menyaksikan skuad lelaki memenanginya dan mengulangi pencapaian serupa dua tahun kemudian di Filipina.
Barisan wanita pula meraih gangsa enam tahun lalu sebelum pulang dengan gelaran juara di edisi ke-30.