JOHOR BAHRU : Pasukan hoki remaja negara melakukan kebangkitan lewat pada baki 10 minit terakhir perlawanan menentang Britain di Stadium Hoki Taman Daya dengan menyumbat dua gol dalam aksi keempat Piala Sultan Johor (SOJC) 2022.
Tetapi gol padang Mohd Danish Aiman Khairil Anuar dan pukulan sudut penalti Shahmie Irfan Suhaimi itu belum memadai menghalang skuad bimbingan Mohd Amin Rahim mengalami kekalahan keempat menerusi keputusan penuh 2-4.
Ia bukanlah situasi yang menyenangkan dalam saingan kali ini apabila kekalahan semua empat perlawanan dilalui meletakkan Malaysia di tangga tercorot dikalangan enam negara selain satu-satunya pasukan belum mempunyai mata.
Britain yang turun berbekal satu kemenangan dan dua kekalahan selesa mendahului empat gol hasil jaringan padang Tom Moorhouse minit ke-2 dan Fred Newbold minit ke-17 sebelum Jamie Golden menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-34.
Harrison Stone menyumbat gol terakhir pasukan minit ke-43 sebelum drama mendebarkan disaksikan dengan Malaysia cuba menghambat kedudukan menerusi gol minit ke-50 dan 53.
“Ada kebangkitan yang ditonjolkan setiap pemain pada permainan suku keempat yang membolehkan kita menjaringkan dua gol dan ia menunjukkan peningkatan dan ada karakter untuk berlawan.
Cuma kita kena perbetulkan kelemahan yang sering dilakukan apabila begitu mudah memberi pukulan sudut penalti dan kerap hilang fokus sehingga pasukan mengambil kesempatan daripada kelekaan pemain,” kata Amin selepas perlawanan.
Perlawanan Malaysia yang terakhir ialah Jumaat ini menentang Jepun jam 6 petang.