Tumpuan :
Sukan

HOKI: Jadual padat, MHC mahu beri ruang persiapan gelanggang

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

BUKIT JALIL: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) terpaksa memendekkan beberapa saingan liga yang akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Ia berikutan persiapan gelanggang pertandingan yang akan bermula selewat-lewatnya penghujung September nanti sebagai persediaan bagi penganjuran kempen hoki Piala Dunia Remaja yang akan berlangsung hujung tahun ini.

Walaupun jadual agak padat bagi saingan Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) yang akan bermula Khamis ini, ia tidak menghalang pertambahan pasukan yang akan beraksi pada kempen kali ini.

Menurut naib presiden MHC yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan, Datuk Seri Dr. Anil Jeet Singh, setakat ini, persiapan badan induk hoki negara berada pada tahap 70%.

“Stadium ini mesti dikosongkan pada penghujung bulan September untuk memberi ruang mereka melakukan persiapan, kita pun tidak mahu dimalukan, takkan pula nanti ada bocor sini, lubang sana, tak mahulah, ini andaianlah, jadi kita mesti buat yang terbaik, bila pasukan negara lain datang ke negara kita, mereka akan merasa bangga, gembira dan selesa, itu yang mahu kita pastikan,” katanya.

Dalam pada itu, saingan MJHL musim ini menyaksikan penyertaan sebanyak 28 pasukan lelaki dan 16 pasukan wanita, menampilkan pertambahan dari segi jumlah pasukan berbanding edisi lalu.

Cuma perjalanan saingan kali ini akan berlangsung dengan jadual padat, membabitkan 140 perlawanan keseluruhan dan dilakasanakan dalam tempoh 16 hari saja.

“Memang agak padat, saya setuju dengan perkara itu, tetapi saya harap mereka faham kenapa kita perlu memendekkan saingan kali ini, kalau boleh memang nak bagi panjang liga kali ini sebab banyak pasukan, tetapi kalau kita buat begitu, akan memberi kesan pula kepada pihak stadium untuk membuat kerja-kerja pengubahsuaian akan menjadi satu kekangan bagi mereka,” tambah Datuk Seri Anil.

Hanya saingan Divisyen 1 lelaki akan dilangsungkan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil selain perlawanan akhir.

Manakala saingan Divisyen 2 zon utara akan diadakan di Stadium Hoki Bertam di Pulau Pinang dan zon selatan pula di Stadium Hoki Bukit Serindit, Melaka.

Saingan wanita pula akan diadakan di Stadium Hoki Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bermula 3 hingga 19 Ogos.

Loading...
Terkini